Bangunan pertama Sekolah Kebangsaan Sungai Baharu telah didirikan pada 11.09.1947 secara gotong royong di atas satu kawasan tanah berhampiran Masjid Sungai Baharu. Bangunan pertama ini adalah merupakan sebuah rumah lama yang dibeli dengan harga tiga ratus enam puluh ringgit, hasil kutipan derma. Keluasan bangunan ini ialah 20x36 kaki persegi.
Antara anggota masyarakat Sungai Baharu yang terlibat dalam usaha menubuhkan sekolah ini ialah Tn. Haji Shamsuddin bin Ahmad, Haji Puteh, Hj. Abdullah bin Yeop, Haji Tamin, Tn. Haji Abdullah bin Rashid, En. Harun bin Nayan dan seorang wakil dari Jabatan Pendidikan iaitu En. Zabit b. Hj. Chik.
Pada tahun 1950 Ahli Jawatankuasa Sekolah telah mendesak pihak kerajaan supaya menyewa sebuah daripada deretan kedai yang berhampiran sekolah
untuk dijadikan bilik darjah tambahan. Bangunan kedai ini dapat menampung 5 buah bilik darjah.
Pertambahan penduduk yang pesat ekoran pembukaan tanah kawasan tepi laut, menyebabkan bilangan murid semakin bertambah . Bagi menampung jumlah murid yang semakin ramai (hampir 320 orang), pada tahun 1955 sebuah bangunan yang berukuran 130x25 kaki persegi telah didirikan.
Memandangkan jumlah murid semakin meningkat iaitu menjangkau seramai 550 orang, maka pada tahun 1968 sebuah lagi bangunan dengan keluasan yang sama, didirikan berhampiran bangunan yang ada.
Kemajuan yang pesat dengan pelbagai kemudahan asas yang disediakan, menambahkan lagi jumlah penduduk di sini. Dua buah bangunan yang ada tidak lagi mampu menampung bilangan murid yang turut meningkat.
Pada bulan Mac 1977, sebuah bangunan baru yang mengandungi 3 bilik darjah, 2 bilik tandas, sebuah bilik guru dan sebuah pejabat telah didirikan. Bangunan ini tidak didirikan di kawasan yang sedia ada (berhampiran masjid) sebaliknya didirikan di atas tapak baru (asalnya sawah padi) kira-kira 20 meter dari kawasan sekolah lama. Tapak baru ini juga dilengkapi dengan padang yang sebelum ini tidak dimiliki oleh sekolah ini. Sekolah Kebangsaan Sungai Baharu mempunyai 3 buah bangunan setingkat dengan sembilan buah bilik darjah termasuk sebuah bilik Sains dan sebuah bilik pemulihan. Sekolah ini juga mempunyai sebuah pejabat, sebuah bilik guru dan sebuah Pusat Sumber. Sekolah ini juga dilengkapi dengan sebuah kantin dan padang. Kesemua bangunan ini terletak di tapak baru.
Ekoran bilangan penduduk yang semakin bertambah, terdapat keperluan untuk menambah bangunan baru. Bermula dari tahun 2000 lagi, cadangan untuk menaiktaraf bangunan SK Sungai Baharu sudah dibincangkan dan diusahakan. Bertitik-tolak daripada itu, mulai tahun 2008, bangunan baru mula dibina. Bangunan baru ini mula diduduki dan beroperasi pada 9 Mac 2011. Bangunan ini mengandungi dua blok empat tingkat iaitu Pejabat, Bilik Guru, Bilik Akses, Bilik SPBT, Kedai Koperasi, Stor PJ, 7 buah kelas, 2 buah Makmal Sains, Bilik J-QAF, Pusat Sumber, Bilik Muzik, Dewan Terbuka, tandas guru dan murid, dan kantin. Kini, bangunan baru SK Sungai Baharu menjadi mercu tanda di kawasan Sungai Baharu sebagai sebuah institusi pendidikan yang ulung sehingga berjaya melahirkan modal insan yang menjadi kebanggaan warga Kampung Sungai Baharu.
No comments:
Post a Comment